TOPIK 3:PENGURUSAN BILIK DARJAH
Pengurusan bilik darjah adalah satu proses pembentukan suatu alam pembelajaran serta usaha untuk mengekalkannya agar objektif yang ditetapkan tercapai. Suasana bilik darjah yang terbaik semasa pengajaran dan pembelajaran adalah penting bagi memastikan pelajar dapat belajar dengan baik (Mook Soon Sang, 2011). Manakala, Bosch (2006) menjelaskan bahawa pengurusan bilik darjah sebagaimana guru dan pelajar bekerja, saling bekerjasama dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran berlaku.Menurut Albert & Troutman (1986), pengurusan bilik darjah boleh didefinisikan sebagai kemahiran guru yang boleh menguruskan masa, ruang, sumber pembelajaran, peranan dan tingkah laku murid ketika menyediakan suatu iklim yang sesuai untuk pembelajaran. Hal ini bermakna pengurusan bilik darjah perlu dilihat sebagai bidang yang lebih luas daripada kawalan bilik darjah dan peraturan semata-mata.
Terdapat 5 faktor pengurusan bilik darjah. Antara faktor pentadbiran ialah seseorang guru menguruskan bilik darjah dengan sempurna dan berkesan. Bilik darjah adalah sebuah ruang untuk menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Pengurusan bilik darjah merupakan tanggungjawab seorang guru. Setiap guru mesti mengamalkan ciri-ciri pemimpin yang baik untuk menguruskan bilik darjah. Faktor kedua ialah faktor susunan fizikal. Faktor ini merupakan peralatan asas yang simpan di dalam bilik darjah dengan susunan yang kemas dan teratur. Sebuah bilik darjah sepatutnya mempunyai peralatan asas seperti papan putih, meja dan kerusi untuk guru dan murid, almari dan rak untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran. Peralatan kebersihan seperti penyapu, tong sampah dan kain lap juga diperlukan supaya pelajar dapat membersihkan bilik darjah. Susunan meja dan kerusi yang tidak baik akan menyebabkan kesan buruk, iaitu pelajar sukar untuk menumpukan perhatian dan fokus kepada pembelajaran jika susunan meja dan kerusi tidak baik. Faktor ketiga ialah faktor pusat pembelajaran. Faktor tersebut merupakan tempat pembelajaran secara terpusat yang khas untuk pembelajaran murid. Pelajar dapat meletakan bahan pameran dan bahan pengajaran dalam pengajaran di sudut bilik darjah. Pelajar dapat pergi ke pusat pembelajaran pada bila-bila sahaja untuk meneroka ilmu dan pengetahuan yang baharu. Pembentukan pusat pembelajaran adalah dikembangkan oleh guru dan pelajar secara bekerjasama, iaitu guru membuat rancangan pusat pembelajaran manakala pelajar perlu mengikut dan melaksanakan arahan guru. Faktor keempat ialah faktor bahan pembelajaran. Semua pelajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan dengan baik bergantung kepada bahan pembelajaran yang baik terutamanya bahan yang berbentuk visual dan infografik membolehkan pelajar memahami isi pembelajaran dengan lebih mendalam dan menarik minat mereka supaya pelajar lebih fokus dan menumpukan perhatian semasa sesi pembelajaran. Guru perlu memilih bahan pembelajaran secara berhati-hati. Akhirnya ialah faktor sumber pembelajaran. Faktor sumber pembelajaran merupakan peralatan atau bahan bantu yang digunakan oleh seseorang guru bagi menjalankan sesi pelajaran dan pembelajaran. Sumber pembelajaran dapat membantu guru untuk memastikan semua pengetahuan dan ilmu disampaikan kepada pelajar.
Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah merupakan satu proses yang memerlukan guru untuk mengurus bilik darjah agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dapat dijalankan. Pengurusan ini amat penting dan wajib dilaksanakan oleh guru kerana ianya dapat membantu guru mengiringi murid-murid untuk menggapai pencapaian akademik yang lebih tinggi dan cemerlang. Oleh itu, guru-guru memainkan peranan yang penting dalam mengembangkan dan mengurus bilik darjah.
Rujukan;
http://irep.iium.edu.my/13309/1/Chapter_-_Pengurusan_Bilik_Darjah_-_2009.pdf

Comments
Post a Comment